BAYI ENAM BULAN MAUT DISYAKI DIDERA PENGASUH

Gambar hiasan

IPOH: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia selepas dua hari koma dipercayai didera oleh pengasuhnya di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat awal diterima daripada pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini ketika merawat mangsa, Rabu lalu.

Menurutnya, pihak hospital mengesyaki kecederaan dialami mangsa adalah akibat didera.

“Siasatan yang dijalankan berjaya menangkap seorang wanita warga tempatan berusia 52 tahun yang merupakan pengasuh mangsa sepenuh masa.” 

“Suspek direman selama empat hari sehingga Isnin ini untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, siasatan kes bagaimanapun diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh apabila mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sekitar jam 2.51 petang pada Jumaat.

“Hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa adalah kecederaan di kepala akibat objek tumpul.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply