BERI BANTUAN SEGERA SAMA ADA KIBAR BENDERA PUTIH ATAU TIDAK – ZULKIFLI

PORT DICKSON: Bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan sama ada bertindak mengibarkan bendera putih atau tidak perlu diberikan dengan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, walaupun tindakan mengibar bendera putih itu memberikan pelbagai pandangan termasuk mufti-mufti, namun ianya tetap bermatlamatkan untuk membantu golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Yang penting kita turun padang. Tak kisah ada bendera ke tak ada bendera, orang dalam susah kita bantu,” ujarnya selepas diminta mengulas tentang pelbagai pandangan yang disuarakan beberapa pihak berhubung tindakan mengibar bendera putih sebagai isyarat meminta pertolongan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sempena program Inspirasi Prihatin Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), di sini hari ini.

Zulkifli memaklumkan bahawa orang ramai juga boleh meminta bantuan dengan menghubungi talian yang disediakan menerusi laman sesawang atau Facebook agensi di bawah seliaan beliau termasuk Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan YaPEIM.

Lapor BERNAMA, setakat ini bantuan bernilai lebih RM700 juta disalurkan kepada orang ramai di seluruh negara melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Pusat Pungutan Zakat dan Jabatan Agama Islam Negeri serta YADIM.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhil Shaari berpendapat bendera putih adalah lambang isyarat kecemasan yang perlu diberikan perhatian termasuk pihak masjid, jiran tetangga, madrasah dan wakil rakyat kawasan.

“Dalam situasi sekarang mungkin ada orang yang perlukan lampin pakai buang untuk anak-anak dan ada yang perlukan beras, malah ada juga yang perlukan wang bagi membayar sewa rumah,” katanya.

Fadhil turut berharap agar isu bendera putih ini tidak terus dipolitikkan malah pihak yang bertanggungjawab perlu memberi perhatian terhadap isu tersebut.—AlHijrah Online

Leave a Reply