PENGECUALIAN SEWA KANTIN, PREMIS KPM SELAMA ENAM BULAN

KUALA LUMPUR: Pengecualian bayaran sewa kantin dan premis di sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan diberikan selama enam bulan bermula Julai.

Menurut kenyataan KPM, premis atau ruang yang diberikan pengecualian sewa antaranya kedai buku, koperasi, kedai dobi atau mesin layan diri (vending machine) yang terjejas akibat penutupan sekolah.

“KPM juga akan memberi penyambungan kontrak sewaan kantin dan premis atau ruang di sekolah bawah KPM secara automatik untuk satu tahun apabila tempoh kontrak asal tamat,” dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, KPM juga akan melanjutkan kontrak perkhidmatan kepada kontraktor Bekalan Makanan Bermasak yang terlibat dengan mengambil kira tempoh perkhidmatan yang terjejas.

Dalam perkembangan yang sama, bagi perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan, KPM akan melakukan pembayaran sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak, justeru tidak timbul isu kontraktor perlu memotong gaji pekerja mereka.

“KPM yakin inisiatif berkenaan dapat membantu meringankan beban kewangan penyedia perkhidmatan di institusi bawah KPM serta pekerja terlibat yang terkesan oleh pandemik COVID-19,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), sektor pendidikan akan dibuka semula secara berperingkat pada fasa ketiga yang dijangka bermula September 2021.–AlHijrah Online

Leave a Reply