BERLAKU PERPECAHAN UMMAH JIKA TIDAK HORMATI MUFTI

KOTA BHARU: Umat Islam diminta menghormati pandangan institusi mufti apabila ia berkaitan dengan fatwa, dan tidak mengecam badan tersebut.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pandangan mufti perlu disambut dengan cara berhemah walaupun berbeza pandangan daripada orang ramai.

“Fatwa itu mengambil kira semua aspek berlandaskan hukum dan syariat yang terkandung dalam Al-Quran, hadis serta sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mereka yang pakar dalam agama Islam,” katanya.

Lapor Sinar Harian, Ahmad Marzuk menyatakan umat Islam tidak wajar meremehkan fatwa serta pandangan yang dikeluarkan mufti walaupun terdapat segelintir yang tidak bersetuju.

Ujarnya, badan tersebut merupakan institusi terakhir yang bertanggungjawab dalam urusan agama berkaitan dengan fatwa, iaitu persoalan berbangkit dalam perihal hukum-hakam Islam.

“Bila mufti dihormati, secara tidak langsung perpaduan dalam negara dapat diperkukuhkan.

“Kalau semua orang nak pakai pandangan sendiri, tidak rujuk kepada pandangan akhir daripada mufti maka berlakulah perpecahan berterusan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah telah mengeluarkan kenyataan bahawa melanggar larangan rentas negeri untuk pulang ke kampung, hukumnya haram.

Kenyataan tersebut mengundang kecaman sebahagian warga net di media sosial.

Malah konteks keseluruhan ucapan Dr Luqman dalam sebuah video webinar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga berkemungkinan disalah tafsir.—AlHijrah Online

Leave a Reply