BIMBANG KES MENINGKAT, SOP AKAN DIKETATKAN SEMULA – ISMAIL SABRI

Penjarakan sosial antara SOP penting dalam mengawal penularan COVID-19

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju secara dasar untuk mengetatkan semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilonggarkan di bawah pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil ekoran timbul kebimbangan peningkatan kes COVID-19 di negara ini dalam tempoh hampir seminggu ini.

“Secara dasarnya keputusan ini dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

“Jawatankuasa teknikal akan berbincang esok untuk memperincikan SOP dan akan dibentangkan pada mesyuarat menteri-menteri Isnin ini,” katanya pada sidang media perkembangan PKPP di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

SOP untuk sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut 31 Julai ini juga, kata Ismail Sabri. akan dimuktamadkan dan diumumkan Isnin ini.

“Polis akan memantau pematuhan SOP ketika sambutan Aidiladha sama seperti pada Aidilfitri lepas. Jika berlaku pelanggaran SOP, tangkapan dan tindakan dibuat terus di lapangan,” katanya.

Sementara itu kerajaan Sarawak, jelas Ismail Sabri akan berbincang tentang keperluan melaksanakan PKP Diperketatkan berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri itu. – AlHijrah Online

Leave a Reply