SUAMI YOUTUBER MASAKAN DIDAKWA MILIKI SENJATA BERBAHAYA

IPOH: Suami kepada Youtuber masakan terkenal didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya.

Tertuduh, M. Sugu, 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Menurut pertuduhan, bapa kepada dua orang anak itu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter bertulis ‘tiger’ di parkir wad Unit Rawatan Paliatif (PCU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh kira-kira jam 6 petang Selasa lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Mahinderjit Singh.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Isterinya, M. Pavithra, 28 tahun yang turut berada di mahkamah, bagaimanapun enggan memberi sebarang ulasan.

Saluran Youtube program masakan, Sugu Pavitha kini mempunyai 783,000 pengikut, termasuk dari luar negara. — AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply