CEMAR SUNGAI GONG: AGONG MURKA, TITAH PELAKU DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS

Sumber: Facebook Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah pihak bertanggungjawab terhadap pencemaran Sungai Gong perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman lebih berat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al Sultan Abdullah bertitah, tindakan tegas itu bagi memberi pengajaran agar kes pencemaran seumpama itu tidak berulang.

Baginda bertitah, pencemaran sungai yang menjejaskan lima juta pengguna itu disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan menyusahkan jutaan rakyat di Lembah Klang.

“Kemudaratan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja kepada kehidupan seharian, tetapi juga sosioekonomi rakyat kerana banyak perniagaan terpaksa ditutup.”

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Yang Di-Pertuan Agong

Al-Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual itu amat prihatin terhadap keluh-kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu.

Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara, pagi tadi.

Sumber: Facebook Air Selangor

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap tindakan kerajaan Selangor yang mengarahkan pemilik premis yang dipercayai menjadi punca pencemaran air, merobohkan struktur bangunan itu.

Baginda menzahirkan ucapan penghargaan kepada pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi kerajaan berkaitan atas tindakan segera yang diambil untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kepada kawasan yang terjejas. – AlHijrah Online / Nadzirah Sharingat

Leave a Reply