COVID-19 KEMUNGKINAN BESAR DISEBARKAN DARIPADA KELAWAR – WHO

GENEVA: Pandemik COVID-19 yang menyerang seluruh dunia berkemungkinan besar merebak ke manusia daripada kelawar melalui haiwan perantara.

Laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui pasukan pakar antarabangsa yang mengunjungi Wuhan pada Januari lalu itu turut menolak dakwaan COVID-19 bermula akibat kebocoran virus dari makmal.

WHO menyifatkan kesimpulan tersebut sebagai ‘mungkin hingga sangat mungkin’, manakala dakwaan virus itu tersebar dari makmal adalah ‘tidak mungkin berlaku’.

Hasil keputusan yang dilaporkan AFP sebelum pengumuman rasmi itu dinanti-nantikan sejak pasukan misi antarabangsa meninggalkan China lebih dari sebulan lalu.

Isu penyelarasan dan penterjemahan antara perkara yang didakwa menyebabkan kelewatan selain hal-hal diplomatik mengenai kandungan laporan.

Menurut salah satu teori dalam hasil laporan WHO, virus tersebut mungkin merebak terus daripada kelawar kepada manusia manakala satu lagi teori pula melaporkan, virus tersebut merebak daripada kelawar ke haiwan lain sebelum menjangkiti manusia.

Bagaimanapun pakar percaya virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19 berpunca daripada kelawar.

Seperti dimaklumkan dalam sidang media di Wuhan pada 9 Februari lepas. pakar masih belum merungkai sepenuhnya asal usul virus COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply