SOP UMRAH DAN HAJI: KERAJAAN TUNGGU PENJELASAN ARAB SAUDI

ALOR SETAR: Kerajaan akan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Arab Saudi untuk ibadah umrah dan haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, persediaan untuk menghantar jemaah haji dan umrah Malaysia ke Tanah Suci itu akan berpandukan SOP yang telah dijelaskan Arab Saudi.

Katanya beliau sendiri akan ke Arab Saudi bagi membincangkan SOP antara kedua-dua negara.

“Insya-Allah saya sendiri akan pergi dalam seminggu dua lagi ke sana dan untuk melihat SOP.

“Ulasan panjang lebar akan kami beri selepas daripada itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Lawatan Mahabbah dan Pelancaran Dana Wajar Yayasan Islam Negeri Kedah di Institut Al-quran Darul Aman (Iqdar) di Alor Setar, hari ini.

Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata SOP ibadah haji Malaysia akan dikemas kini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia memenuhi syarat Arab Saudi.

SOP berkenaan perlu diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi untuk diteliti dan mendapat pengesahan bagi mengelak jemaah haji Malaysia dihalang daripada mengerjakan ibadah itu pada tahun ini.

Ketika ditanya mengenai suntikan vaksin kepada jemaah, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menentukan garis panduan bersesuaian.

Bagaimanapun katanya, ia hanya akan dibuat selepas pihaknya mendapat keputusan dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah, sebelum ini dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. – AlHijrah Online

Leave a Reply