RENTAS NEGERI MASIH TIDAK DIBENARKAN

KUALA LUMPUR: Pegerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan buat masa ini.

Pun begitu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rentas negeri dibolehkan untuk urusan yang dibenarkan pihak polis serta aktiviti pelancongan dari negeri Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP yang lain.

“Rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke PKPP melalui konsep ‘Green Travel Bubble’.

“Aktiviti pelancongan itu perlu menggunakan ejen pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau turut berkata setakat ini rentas daerah kekal dibenarkan di semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak atas permintaan kerajaan negeri.

Ismail Sabri hari ini turut mengumumkan lima negeri kekal di bawah PKP Bersyarat (PKPB) iaitu Selangor, Johor, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bermula 1 April hingga 14 April 2021.

Sarawak juga dikuatkuasakan PKPB bermula 30 Mac hingga 12 April 2021.

Lain-lain negeri iaitu Sabah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka, Perlis, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah dan Negeri Sembilan dikuatkuasakan PKPP bermula 1 April hingga 14 April 2021. — AlHijrah Online

Leave a Reply