MUHYIDDIN DIKUARANTIN 14 HARI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani kuarantin 14 hari bermula petang ini selepas seorang pegawai yang hadir mesyuarat pasca Kabinet dipengerusikan beliau pada Rabu lalu disahkan positif COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata Muhyiddin telah menjalani ujian saringan COVID-19 pagi tadi sebelum disahkan negatif.

“Walau bagaimanapun, menurut Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), YAB Perdana Menteri perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai petang ini,” kata kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri berkata semua ahli mesyuarat itu juga diarahkan menjalani ujian saringan dan kuarantin di rumah masing-masing selama 14 hari bermula hari ini.

“Sebagai makluman, setiap mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan yang ketat pada setiap masa ” kata Pejabat Perdana Menteri. — AlHijrah Online

Leave a Reply