GERAN: KU CARI ISI DALAM AKSI!!

Catatan ini atas permintaan seorang sahabat yang tidak bisa saya tolak.

Tentang karya kerdil #FilemGeran yang juga tanda protes sutradaranya apabila seni silat tidak diangkat ke layar perak.

Sutradara muda itu tidak dibantu sesenpun, sekalipun dulunya kantung perbendaharaan bocor di tangan yang tidak layak.

Juga tanda protes pada elit dan kenamaan filem yang memandang rendah kekuatan naskah dan keupayaan jati bangsanya sendiri.

Kononnya penonton kita termasuk kalian hanya mahukan cerita “thriller”, tahyul, seram dan cinta tak berpenghujung menjual suami dari langit atau isteri untuk disewa.

Saya tidak akan menyentuh tentang aksi persilatan di dalam naskah Geran kerana terbukti filem ini telah mengangkat ilmu silat, khususnya Gayong Pusaka di layar perak.

Anak-anak Gayong faham akan maksudnya. Ia bukan sekadar naskah filem, tetapi peringatan untuk semua.

Jujurnya, filem ini membuat dada saya membuak-buak, rasanya seperti lahar gunung berapi yang lama terpedam, berdiam menunggu masa untuk bangun dari lena yang panjang.

Kenapa? Kerana di dalam filem yang dianggap kerdil dibandingkan dengan filem “Joker” yang menjadi buah mulut rakyat dunia (sekitar Oktober 2019), filem Geran menghidupkan kembali apa yang tertanam di dada.

#PusakaKitaMaruahKita bagi saya bukan hanya sekadar hashtag menunggu trending tetapi semboyan pertama runut Mim Lam Alif Ya Wau untuk sedar diri.

Yang bangsa kita bangsa bermaruah, yang tidak perlu apologetik segenap masa dan percaya akan jalan agama yang menjadi nadi dan tunjang hidup kita. 

Hakikatnya, di dalam karya sutradara Areel Abu Bakar ada dakwah bil hal.

Ditunjukkan di dalam naskah filem contoh tentang adab yang berkeluarga, menghormati yang lebih tua, bertawakkal, berdoa, mengambil resam lidi yang utuh dan kukuh di kala sepi yang rapuh.

Kenapa dikatakan begini? Filem Geran bukan hanya tentang seni persilatan tapi seni dalam kehidupan.

Resam orang berjuang adalah untuk diuji dan resam orang berilmu untuk merendah diri.

Jika suatu hari nasi yang kita tanak berkerak, takkan kita berhenti menanak, atau berhenti makan nasi.

Lebih kurang begitu kata Pak Nayan (ayah) lakonan Namron menjelaskan kepada Ali (Koharullah Abd Majid) dan Fatimah (Feiyna Tajudin), abang dan kakak kepada Mat Arip (Fad Anuar), watak adik bongsu bermasalah dalam keluarga.

Filem Geran terbitan Layar Pictures disiapkan dengan kos RM700,000 juga banyak menyelitkan falsafah, mutiara kata dan pengajaran tentang hidup dalam caranya tersendiri.

Bahawasanya mereka yang tahu dan mencari yang hak (baca: tuhan) tidak seharusnya gundah dengan urusan dunia.

Juga diingatkan tentang superioriti yang hak ke atas yang batil. Kebenaran itu adalah hak dan ia akan berdiri tegak akhirnya.

Namun dalam rasa membuak-buak itu saya merasa amat sedih, kerana filem sebaik ini (tayangan 10 Oktber 2019 di pawagam) tidak disambut gah kalian jika dibandingkan filem imaginasi berlatarkan Gotham City (Joker).

Barangkali, ada benarnya kata-kata elit dan pembesar perfileman itu bahawa kalian dan mereka hanya mahukan yang sebegitu saja.

Geran bukan hanya tentang aksi persilatan mendebarkan dada atau “drift” budak kampung yang mengujakan tapi naskah filem besar yang dikerdilkan sutradaranya.

Pengarahnya, Areel ketika ditemubual penulis di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, memberitahu betapa dia merasakan amat kerdil kerana filem aksi persilatan itu dipandang sepi pembesar perfileman sehingga beliau dan beberapa sahabat, termasuk isterinya, mencari dana sendiri untuk menerbitkan filem itu.

Areel yang juga anak Gayong Pusaka memberitahu saya perkara itu sesekali tidak mematahkan semangatnya dan tim produksi Geran untuk melahirkan filem itu dalam tempoh 36 hari penggambaran.

Filem ini dilahirkan dalam kekangan bajet. Kesemua aksi stuntnya dilakukan pelakon-pelakon utamanya, malah atas kepercayaan tinggi kepada naskah ini mereka tidak mengambil bayaran hinggalah ia ditayangkan di pawagam.

“Ini filem kerdil dari kami untuk dunia filem,” kata Areel menyebabkan kenapa saya menaruh kepercayaan tinggi kepada pengarah muda berjiwa merdeka ini.

Jujurnya, saya merasakan filem ini dikerdilkan sutradaranya. Kerdil kerana adab dan adat kita yang mengikut resam padi.

Menerima dengan jiwa dan memberi dengan rasa.

Akhirnya, saya juga menyukai “Joker” bukan kerana dalamnya kepedihan dari yang baik menjadi jahat tapi kesungguhan Joaquin Phoenix memberi makna kehidupan kepada Arthur Fleck.

Jika dunia tidak dapat menerimamu seadanya, maka cipta dunia utopiamu.

Sedangkan filem Geran bukan hanya berkisar pada satu watak, tapi berkisar pada bangsa dan neraca kebangsaan yang lebih besar.

Musuh melanggar kugempur, sungguh rela ku gugur kerana kau tanah airku, biar putih tulang jangan putih mata (ini ada dalam naskah Geran).

Runut bunyi (original soundtrack) Menyemai Kemungkinan filem Geran dari Salammusik juga menggetarkan rasa bagi yang mendengar dan memahami.

Hakikatnya, Geran mengupas realiti tentang adanya watak-watak Pak Nayan dan Haji Daud di antara kita.

Ia bukan hanya tentang permasalahan sesuatu bangsa sahaja tapi tentang kehidupan melingkari tanah pusaka ini. Ianya tentang cara hidup beradab dan beragama.

Jika Areel mahu mengangkat seni silat ke persada layar dunia, maka filem Geran adalah kekudanya.

Kekuda adalah akar dan akar yang kuat itu akan memastikan pokoknya tidak sesekali tumbang.

Pokok yang kuat menyatu itu adalah kalian, audiens yang menonton dan menyokong filem ini.

Filem Geran yang berdurasi sejam 40 minit akan ditayangkan di TV AlHijrah pada 6 Syawal 1441H bersamaan 29 Mei 2020 jam 9 malam.

Filem aksi yang sarat dengan falsafah Islamik mengisahkan tentang keluarga pesilat yang mempertahankan geran tanah pusaka mereka itu adalah antara lima filem pertaruhan TV AlHijrah buat penonton setianya pada Syawal ini. — AlHijrah Online

Penulis adalah Editor AlHijrah Online yang percaya kepada kata-kata Bung Karno bahawa bangsa yang tidak percaya kekuatan dirinya sebagai suatu bangsa, tidak akan dapat berdiri sebagai bangsa merdeka.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply