KOTA BHARU: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dengan penahanan tiga lelaki sekali gus menyelesaikan 13 kes jenayah itu di sekitar daerah ini membabitkan kerugian kira-kira RM404,400.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata ketiga-tiga suspek termasuk seorang berketurunan Myanmar berusia antara 28 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan pada 10 hingga 13 Mei lepas.
Beliau berkata modus operandi kumpulan yang aktif sejak tiga hingga empat bulan lepas itu adalah dengan menyasarkan rumah kosong pada waktu siang.
“Mereka akan melakukan tinjauan pada awal pagi sekitar jam 8 hingga 9 pagi untuk mengenal pasti rumah yang ditinggalkan penghuni untuk keluar bekerja sebelum memecah masuk bagi mencuri,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi Mei 2026 di sini hari ini.
Mohd Yusoff berkata kawasan yang sering menjadi sasaran kumpulan itu termasuk Perol, Peringat dan beberapa lokasi lain di sekitar daerah Kota Bharu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai terbabit dalam kejadian pecah rumah dan curi kereta di sebuah rumah di Lorong Tepi Tahfiz Ar-Raudhah, Kampung Perol pada 28 April lepas mengakibatkan kerugian kira-kira RM30,000.
Mohd Yusoff berkata hasil serbuan dan tangkapan tersebut, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk telefon bimbit, tablet, kamera, barang kemas, jam tangan, beg tangan, sebuah kereta Perodua Myvi, wang tunai serta peralatan dipercayai digunakan untuk memecah rumah.
“Semakan polis mendapati ketiga-tiga suspek merupakan penjenayah tegar dengan rekod jenayah lampau yang agak banyak iaitu 14 rekod berkaitan kesalahan dadah dan 16 rekod jenayah lain. Ujian saringan awal air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga suspek kini direman tujuh hari hingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Mohd Yusoff berkata siasatan secara terperinci masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan dilakukan selepas ini.–BERNAMA