
KUALA LUMPUR: Ketika landskap industri media dan digital berdepan pelbagai liku dan cabaran, TV AlHijrah membuktikan bahawa pelaburan terhadap modal insan dan budaya kerja yang kukuh adalah kunci utama untuk kekal berdaya tahan.
Terbaharu, stesen penyiaran Islamik itu telah diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi anugerah Malaysia Best Employer Brand Awards 2026 sempena majlis 21st Employer Branding Awards yang berlangsung di Pullman Kuala Lumpur City Centre, hari ini.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen jitu TV AlHijrah dalam memperkukuh pembangunan modal insan, menjaga kesejahteraan warga kerja, serta membudayakan persekitaran kerja yang progresif, inklusif, dan berteraskan nilai-nilai murni.
Hadir menerima Anugerah tersebut ialah pengerusi TV AlHijrah , Mohd Khair Ngadiron dengan penyerahannya disempurnakan Pengasas World CSR Day dan World Sustainability Congress merangkap Pengarah World HRD Congress & Employer Branding Awards, Dr. R. L. Bhatia.
Mohd Khair berkata, pengiktirafan ini adalah refleksi kepada usaha berterusan organisasi dalam membina ekosistem kerja yang positif dan mampan.
“TV AlHijrah percaya bahawa warga kerja merupakan aset terpenting dalam organisasi. Dedikasi, komitmen, dan nilai yang dibawa oleh seluruh warga kerja menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan dan transformasi organisasi kami” katanya.
Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja TV AlHijrah atas sumbangan tanpa henti yang membolehkan organisasi mencapai merit setinggi ini.
Kejayaan merangkul anugerah ini menjadikan TV AlHijrah berdiri sama tinggi dengan beberapa gergasi industri lain antaranya, Alibaba Cloud Malaysia, DHL Malaysia, Dell Technologies Malaysia, SP Setia Berhad, Co-Op Bank Pertama dan Pullman KLCC.
Amugerah yang dianjurkan Employer Branding Institute, India dengan kerjasama strategik beberapa organisasi global termasuk World HRD Congress serta World Federation of HR Professionals (WFHRP) mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek pengurusan sumber manusia termasuk pembangunan bakat, strategi pengambilan pekerja, kesejahteraan pekerja, pembangunan kepimpinan, budaya kerja serta inisiatif tanggungjawab sosial korporat.–AlHjrah Online.