
SEPANG: Pelbagai pihak antarabangsa sudah bersiap sedia untuk menguruskan pembebasan dan bantuan perundangan kepada aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2026 yang ditahan rejim Israel.
Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, persiapan itu dilakukan menerusi rakan kerjasama di Jordan, Kaherah dan beberapa negara lain yang dijangka menjadi lokasi pembebasan tahanan terbabit.
“Walau bagaimanapun, Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang berada di lapangan khususnya di Ashdod belum dapat mengesahkan kehadiran kesemua tahanan buat masa sekarang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambahnya, pasukan peguam ADALAH juga bersedia bertindak sebagai wakil guaman bagi pihak Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) serta mewakili komuniti antarabangsa yang terlibat dalam misi tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa tekanan antarabangsa dijangka meningkat sekiranya pihak Israel melengahkan pembebasan tahanan ekoran adik kepada Presiden Irish, Catherine Connolly turut ditahan pihak Israel.
Semalam, empat peserta terakhir GSF dari Malaysia yang sedang meneruskan pelayaran ke Gaza ditahan. Peserta terbabit ialah Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs) dan Chin yang berada di kapal Alcyone, manakala Syed Amirul dan Dr Thanisah masing-masing berada di kapal Don Juan dan Zefiro. — AlHijrah Online