Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

TENTERA ISRAEL ‘LEPAS TANGAN’ INSIDEN TEMBAKAN FLOTILA

DUNIA

TENTERA ISRAEL ‘LEPAS TANGAN’ INSIDEN TEMBAKAN FLOTILA

Tentera Israel enggan mengulas lanjut dan merujuk Reuters kepada kementerian luar negara itu mengenai insiden tembakan ke arah sekurang-kurangnya dua kapal yang belayar dalam flotila bantuan menuju Gaza pada Selasa, menurut rakaman video dan penganjur flotila.

KUALA LUMPUR: Tentera Israel ‘lepas tangan’ dan elak untuk mengulas insiden tembakan ke arah sekurang-kurangnya dua kapal yang belayar dalam flotila bantuan menuju Gaza pada Selasa.

Malah media juga diarahkan merujuk kepada kementerian luar negara haram itu dan sehingga kini belum mendapat sebarang maklum balas.

Video daripada siaran langsung flotila yang telah tular menunjukkan rejim melepaskan tembakan ke arah dua kapal berkenaan, namun jenis peluru yang digunakan tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, seorang jurucakap flotila mendakwa enam kapal telah ditembak.

Kementerian Luar Israel pada Isnin berkata menerusi platform X bahawa ia “tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran terhadap sekatan laut yang sah ke atas Gaza.”

Berucap di Ankara lewat Isnin, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengecam campur tangan terhadap “pelayar harapan” dalam flotila itu dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak terhadap tindakan Israel.

Berdasarkan tracker laman Sumud Nusantara, semua armada Global Sumud Flotilla (GSF) telah dipintas Zionis.

Kapal-kapal itu sebelum ini berlepas buat kali ketiga pada Khamis dari selatan Turkiye selepas percubaan terdahulu menghantar bantuan ke Gaza dipintas Israel di perairan antarabangsa.

Kumpulan itu sebelum ini memaklumkan seramai 426 individu dari 39 negara menyertai flotila berkenaan.

Kementerian Luar Israel turut menggesa “semua peserta dalam provokasi ini supaya mengubah haluan dan berpatah balik segera.”

Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya mengenakan sekatan terhadap empat individu yang dikaitkan dengan flotila yang disifatkannya sebagai “pro-Hamas”.

Aktivis pro-Palestin berkata Israel dan AS secara salah menyamakan sokongan mereka terhadap hak rakyat Palestin sebagai sokongan kepada Hamas.

Rakyat Palestin dan badan bantuan antarabangsa berkata bekalan yang tiba di Gaza masih tidak mencukupi walaupun gencatan senjata dicapai pada Oktober lalu yang turut merangkumi jaminan peningkatan bantuan.

Sebahagian besar daripada lebih dua juta penduduk Gaza telah dipindahkan, dengan ramai kini tinggal di rumah yang musnah akibat pengeboman dan khemah sementara yang didirikan di kawasan lapang, tepi jalan atau di atas runtuhan bangunan yang musnah. — AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Dari masyarakat, untuk masyarakat

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DUNIA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading