Connect with us

ALHIJRAH NEWS

DAKWA IMAM MAHDI MUNCUL HARI ARAFAH ANTARA FAKTOR PUSAT TAREKAT DITUTUP – MUFTI

DALAM NEGARA

DAKWA IMAM MAHDI MUNCUL HARI ARAFAH ANTARA FAKTOR PUSAT TAREKAT DITUTUP – MUFTI

Berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi.

Tangkap layar AlHijrah Online 4 Ogos 2022.

SEREMBAN: Beberapa kepercayaan yang terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah lepas, antara faktor pusat pengamalan Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah di Labu di sini ditutup selama enam bulan.

Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata berdasarkan maklumat, pemimpin pusat itu iaitu Habib Shah Firdaus Habib Ahmad bersama kira-kira 300 pengikutnya telah ke Arab Saudi bagi mengerjakan umrah selain menantikan kemunculan Imam Mahdi.

“Mereka ke sana pada Mac lepas, bagaimanapun ada dalam kalangan pengikutnya nampak perbuatan dilakukan Habib Shah Firdaus tidak betul dan hilang kepercayaan, jadi sebahagian mereka balik ke Malaysia dan buat laporan kepada jabatan mufti negeri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Yusof berkata pihaknya akan membuat siasatan dalam tempoh enam bulan itu selain turut berhubung dengan Konsulat Malaysia di Jeddah bagi mengenal pasti keberadaan Habib Shah Firdaus.

Beliau berkata sebelum ini tiada apa-apa isu melibatkan pusat itu malah ia turut berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018.

Pusat berkenaan ditutup enam bulan berkuat kuasa 3 Ogos lepas berikutan aduan terdapat perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak bagi siasatan lanjut dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan membatalkan pendaftaran terekat tersebut atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Mohd Yusof menasihatkan orang ramai khususnya pengikut tarekat mempelajari dan memahami ilmu akidah dan syariat dengan betul supaya tidak mudah diselewengkan mana-mana pihak. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading