DAKWAAN ROGOL: PENCERAMAH BEBAS DIREMAN

SHAH ALAM: Seorang penceramah bebas ditahan reman lima hari, bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes merogol seorang wanita di sebuah rumah di Seksyen 7 Shah Alam, pada tahun lalu.

Perintah reman dikenakan sehingga selasa depan, yang dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Mohd Zamir Suhaime.

Terdahulu suspek berusia 25 tahun itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira jam 9 pagi tadi.

Dia ditahan pada jam 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan di IPD Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 23 tahun pada jam 7.18 malam kelmarin.

Baharuddin dalam satu kenyataan berkata siasatan awal mendapati mangsa keluar dengan lelaki itu yang dikenalinya menerusi laman sosial pada 11 September tahun lalu.

“Tujuan pertemuan itu untuk berbincang berkenaan masalah kemurungan yang dihadapi mangsa dengan kaedah perubatan Islam.

“Suspek kemudian membawa mangsa makan di kedai makan sebelum balik ke rumahnya dengan alasan untuk memberikan penerangan mengenai penyakit kemurungan,” katanya.

Mangsa yang berusia 23 tahun itu yang didakwa diperkosa telah diberikan amaran untuk merahsiakan kejadian itu sebelum dihantar pulang keesokan harinya menggunakan kenderaan ‘E-Hailing’ ke rumahnya di Subang Jaya.

Tambahannya, mangsa telah mengalami tekanan perasaan yang teruk, sehingga perlu diberikan rawatan psikiatri di Hospital Kajang pada 23 September, tahun lalu.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.—AlHijrah Online

Leave a Reply