DOA SENJATA MUKMIN PALING AMPUH

GAMBAR SEKADAR HIASAN. (KREDIT SINAR HARIAN)

Doa hakikatnya mengandungi pengakuan seseorang hamba tentang kelemahan dan kekurangan dirinya. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa doa merupakan tatacara yang harus dilalui dalam menggapai sesuatu harapan, terutama berkaitan perkara ghaib dari Allah SWT.

Justeru kita dianjurkan untuk berdoa memohon agar segala urusan kehidupan dipermudahkan dan menepati tuntutan syariat Islam.

Doa sebaik-baiknya dipanjatkan dengan perasaan rendah hati seperti firman Allah SWT di dalam Al-Quran surah Al -Anbiya ayat 90 yang bermaksud “Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami,”

Begitu juga firman Allah SWT di dalam surah Al -A’raf ayat 55 yang bermaksud “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas,”

Doa adalah suatu bentuk pengabdian dan pergantungan individu kepada Allah SWT  sebagaimana maksud firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 186 “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul,”

Setiap doa individu seharusnya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, penuh pengharapan dan perasaan yakin bahawa ia akan dikabulkan oleh Allah SWT.

Perasaan penuh pengharapan bermaksud sifat optimis individu untuk mendapat rahmat Tuhan yang disediakan kepada hamba-hambanya yang soleh.

Harapan atau raja’ yang dimaksudkan oleh Imam al-Ghazali juga ialah sifat individu yang beramal soleh, membersihkan diri dari sifat-sifat yang buruk dan seterusnya mengharapkan nikmat dan rahmat Allah sehingga akhir hayat serta baik kesudahannya (Husn Al-Khatimah).

Sifat harap adalah berlawanan dengan sifat putus asa. Individu yang mempunyai sifat putus asa adalah individu yang dianggap putus hubungan dengan Allah SWT. Orang mukmin tidak sepatutnya hilang rasa optimis dan kepercayaan terhadap rahmat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Antara adab-adab utama dalam berdoa adalah seseorang  perlulah meminta kepada Allah SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya dan juga perasaan takut dari doa tertolak. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Berdoalah kamu kepada Allah SWT dalam hal keadaan kamu yakin dengan penerimaan Tuhan. Ketahuilah bahawa Allah SWT tidak menerima doa daripada hati orang yang lalai. (Hadis riwayat al-Tirmizi (3479)).

Doa hendaklah dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah SWT sebelum meminta sebarang hajat. Hal ini sebagaimana digambarkan di dalam doa yang dilafazkan melalui surah al-Fatihah.

Ia berdasarkan sebuah hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW menceritakan berkenaan bacaan Al-Fatihah di dalam solat. Lalu Allah SWT membahagikan solat kepada dua bahagian, untuk diri-Nya dan untuk para hamba-Nya. Jelas dalam surah al-Fatihah, terdapat 5 pujian daripada ayat pertama hinggalah ke ayat yang kelima kepada Allah SWT. Kemudian pada ayat yang keenam, ia diikuti dengan permintaan atau doa.

Kita juga perlu mengelak dari melakukan amalan yang menyebabkan doa tertolak misalnya terlibat dalam perbuatan yang haram. Daripada Abu Hurairah RA berkata : “…Kemudian Nabi Muhammad SAW menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (Hadis Riwayat Muslim).

Kita juga ditegah dari mendoakan perkara buruk, dosa dan mungkar, berdoa memutuskan silaturrahim serta tergesa-gesa dan putus asa dalam berdoa.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa ataupun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru.

Seorang sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru?” Rasulullah SAW menjawab “Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi” (Hadis Riwayat Muslim).

Berdoa juga tidak harus dilakukan dalam keadaan lalai dan tidak yakin ia dimakbulkan. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud “Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi).

Semenjak negara dilanda penularan wabak COVI-19, saban waktu kita diseru agar memperbanyakkan berdoa memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah SWT agar rantaian wabak berkenaan segera dihentikan.

Di Wilayah Persekutuan walaupun surau dan masjid ditutup ketika awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun seluruh masjid menganjurkan Wilayah Persekutuan bermunajat melalui tiga orang petugas masjid yang dibenarkan serta disiarkan secara langsung di facebook masjid-masjid.

GAMBAR OLEH Mohd RASFAN / AFP)

Berdasarkan perkembangan terkini COVID-19 di dalam negara, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berterusan menyarankan agar masjid dan surau melaksanakan solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah memohon segala urusan dipermudahkan.

Bahkan doa dan munajat turut dianjurkan sempena ketibaan Maulidur Rasul SAW baru-baru ini. Terkini saranan mengadakan solat Hajat dan munajat pada setiap malam termasuk di kediaman masing-masing agar kita semua terus menerus menyandarkan kebergantungan kepada Allah SWT di samping segala ikhtiar dan usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak.

Sesungguhnya doa adalah merupakan detik paling hampir seseorang hamba dengan Tuhan.

Rayuan dan rintihan yang jujur dan ikhlas penuh pengharapan pada saat getir pasti diperkenankan oleh Tuhan sebagaimana doa dan rintihan Nabi Muhammad SAW pada malam hari ketika mengharungi peperangan Badar mendepani tentera musuh yang berlipat kali ganda dari jumlah tentera muslim. Allah SWT akhirnya menganugerahkan kemenangan kepada tentera muslimin. — AlHijrah Online

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply