DATUK BAHARIN DIN CEO TNB BAHARU

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB) melantik Datuk Baharin Din sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB yang baharu, berkuat kuasa 1 Mac 2021.

Pelantikan tersebut menggantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang telah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mula berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Terdahulu, Baharin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian yang bertanggungjawab menerajui segmen perniagaan terbesar syarikat itu.

Beliau telah berkhidmat dengan TNB selama 36 tahun, bermula pada tahun 1985 sebagai pembantu jurutera (pembinaan).

Baharin berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektrikal daripada Syracuse University, New York dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Bond University di Sydney.

Dalam pada itu, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Baharin sebagai CEO TNB baharu.

“Saya yakin beliau beliau akan terus memacu TNB ke arah mencapai aspirasi strategik untuk menjadi pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

“Meskipun berdepan dengan cabaran disebabkan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TNB kekal beroperasi dengan stabil dan mencatatkan prestasi kewangan yang membanggakan dengan pulangan yang baik kepada pemegang sahamnya,” katanya.

—AlHijrah Online

Leave a Reply