KWSP LANTIK CEO BAHARU

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (KREDIT SINAR HARIAN)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP baharu berkuatkuasa 1 Mac 2021.

Menurut kenyataan KWSP hari ini, pelantikan tersebut diumumkan selepas menerima kelulusan Kementerian Kewangan.

Amir sebelum ini merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam sektor korporat.

Beliau yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan (Kewangan dan Ekonomi) daripada Universiti Syracuse, New York, pernah menerajui beberapa organisasi korporat antaranya MISC Berhad, PETRONAS Dagangan Berhad, dan PETRONAS Lubricants International.

Amir akan menggantikan Tunku Alizakri Alias yang telah menerajui KWSP semenjak 20 Ogos 2018.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata Tunku Alizakri akan meneruskan sumbangannya terhadap perkhidmatan awam melalui kapasiti yang berbeza.

“Dengan berat hati, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan ucapan selamat maju jaya kepada Tunku Alizakri atas dedikasi dan sumbangan beliau selama tujuh tahun, bermula sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) dan kemudian sebagai CEO KWSP.

“Wawasan serta komitmen Tunku Alizakri kepada semua pihak berkepentingan terutama ahli KWSP boleh dilihat melalui hala tuju KWSP dalam mempertingkatkan kecekapan operasinya melalui pecutan digital, mengguna pakai dasar dan tadbir urus alam sekitar (ESG) dan kelestarian (sustainability) sebagai metrik utama, serta memperkasakan keselamatan sosial dan kesejahteraan bagi rakyat,” katanya. – AlHijrah Online

Leave a Reply