DEMI PEPERIKSAAN UPKK, MURID DAN GURU REDAH BANJIR

KUALA LUMPUR: Banjir tidak menghalang sekumpulan pelajar untuk menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).
Video kejadian yang tular di media sosial memaparkan murid terlibat terpaksa membuka kasut dan bersila di atas kerusi mereka selain guru-guru terpaksa meredah banjir dalam kelas.
Difahamkan kejadian berlaku di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Balak, Kajang susulan beberapa kawasan di Selangor mengalami banjir kilat.
Rata-rata warganet mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon UPKK di sekolah tersebut selain mendoakan agar urusan calon-calon dan tenaga pengajar terlibat dipermudahkan.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor Norazam Khamis memaklumkan tiada laporan kejadian banjir diterima di kawasan berkenaan setakat petang tadi.—AlHijrah Online