DOA UNTUK PALESTIN DI WILAYAH PERSEKUTUAN BERMULA 15 HINGGA 21 JUN

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengumumkan penganjuran majlis solat sunat hajat, doa selamat, dan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin bermula 15 hingga 21 Jun ini.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail memaklumkan majlis tersebut akan diadakan di semua masjid, surau Jumaat, dan surau terpilih di zon hijau di Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya.

“Seluruh Wilayah Persekutuan akan menganjurkannya selepas solat maghrib bermula 15 hingga 21 Jun dan selepas solat Jumaat pada 19 Jun tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Ajib berkata, seluruh umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan juga dianjurkan berdoa agar wabak Covid-19 yang melanda negara berlalu serta menganugerahkan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Palestin.

Semalam Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah, agar rakyat negara ini mendoakan mendoakan perlindungan dan pemeliharaan rakyat Palestin dari cengkaman penjajahan dan penindasan rejim Israel. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply