DR ZULKIFLI BERANGKAT KE ARAB SAUDI DALAM MASA TERDEKAT, BINCANG MENGENAI HAJI DAN UMRAH

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri akan berangkat ke Arab Saudi dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai ibadah haji dan umrah tahun ini.

Menurutnya, proses mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut sedang dilakukan dengan pihak berkuasa Arab Saudi.

Buat masa kini, jemaah dari Malaysia masih tidak dibenarkan untuk mengerjakan ibadah umrah ke tanah suci itu.

“Insyaallah kita akan bincangkan dengan kerajaan Arab Saudi, dan saya bercadang untuk pergi ke sana (Arab Saudi) untuk berbincang pelbagai isu terutamanya ibadah umrah dan haji.

“Dalam beberapa hari lagi saya akan maklumkan kenyataan yang tuntas, kita masih dalam proses untuk mengadakan perbincangan ini, Insyaallah,” katanya selepas melancarkan misi bantuan banjir ke Jerantut, Pahang.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi telah mengenakan semula larangan kemasukan negara tersebut kepada 20 negara termasuk Indonesia.

Negara lain yang dilarang memasuki Arab Saudi termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Lebanon, Turki, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman, Perancis, Itali, Ireland, Portugal, Switzerland, Sweden, Brazil, Argentina, Afrika Selatan, India, Pakistan dan Jepun.—AlHijrah Online

Leave a Reply