DUA BEKAS TRANSGENDER DAPAT PELUANG MENJADI TETAMU ALLAH

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang merupakan bekas transgender diberi rezeki dan peluang untuk menjadi tetamu Allah SWT ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah.
Perjalanan kedua-dua lelaki itu menjadi dhuyufurrahman ditaja oleh Jabatan Psikiatri Kuliah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan bersama Persatuan Insaf Pahang.
Menurut hantaran di Facebook Kuliah Perubatan UIAM Kuantan, salah seorang daripada mereka telah berkahwin dan dikurniakan dua orang anak sejak 2016.
“Kini lelaki itu memiliki perniagaan menjual nasi lemak di Kuantan dan seorang lagi berniaga menjual roti canai.
“Mereka berdua telah memulakan hidup baru. Kami doakan perjalanan mereka ke sana selamat.
“Semoga Allah SWT mengurniakan mereka umrah yang mabrur dan membantu mereka menjadi ikon buat rakan sekerja,” kata hantaran tersebut.
UIAM telah menggerakkan Projek Disforia Jantina yang dijalankan Kuliah Perubatan UIAM Kuantan dan diketuai oleh Profesor Dr Samsul Draman. — AlHijrah Online