SUNGAI PETANI: Dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar berumur 17 tahun di asrama sebuah sekolah menengah di sini, bulan lepas.
Kedua-dua tertuduh yang berumur 16 dan 17 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa pada 12.04 tengah malam 24 Nov lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Nor manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Farah Azlinda Zahari.
Mohd Azlan membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Dis depan sebagai sebutan kes bagi mendapatkan status laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.–AlHijrah Online