EMPAT DITAHAN SPRM DISYAKI TERLIBAT PENYELUDUPAN DAGING SEJUK BEKU

Sumber Gambar: BERNAMA

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari negara yang dilarang dibawa masuk ke Malaysia.

Sumber menyatakan individu yang ditahan di pejabat SPRM Johor itu terdiri daripada pengarah dan pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku, yang berusia antara 39 hingga 50 tahun.

SPRM memandang serius mengenai kes ini kerana melibatkan isu kepentingan rakyat khususnya umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Hasil kerjasama beberapa agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, telah mengenal pasti pengimport daging berkenaan,” menurut sumber itu.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kesemua yang terlibat akan dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini bagi permohonan reman.–AlHijrah Online

Leave a Reply