PASANGAN SUAMI ISTERI WARGA EMAS MAUT, BERLANGGAR DENGAN KERETA

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk motosikal yang ditunggangi mereka di Jalan Alor Setar-Butterworth, malam tadi.

Mangsa, Mt Kassim Mt Isa, 61, dan isterinya Azizah Mohamed, 57, yang menunggang motosikal Honda EX-5 meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 8.30 malam, akibat kecederaan parah yang dialami.

Dalam kemalangan tersebut turut membabitkan tiga lagi kenderaan iaitu Perodua Kembara, Proton Iswara dan Toyota Vios.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal pasangan itu bergerak dari arah Tikam Batu menghala ke Pematang Gedong.

Tambah Adzli, semasa kejadian berlaku, motosikal itu kemudian berhenti dan ketika hendak membelok masuk ke arah simpang kanan, kereta Perodua Kembara datang dari arah sama dipercayai tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal berkenaan dari arah sisi kanan.

Pada waktu kejadian berlaku, hujan turun dengan lebat dan permukaan jalan licin.

Kesan dari pelanggaran yang kuat menyebabkan kereta Perodua Kembara terbabas masuk ke dalam belukar manakala motosikal itu terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar kereta Proton Iswara dan Toyota Vios yang melalui jalan terbabit.

Adzli berkata, penunggang motosikal itu meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala isterinya yang ketika itu parah, dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Bagaimanapun, isteri mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 10.05 malam ketika menerima rawatan di hospital tersebut.

Mayat pasangan suami isteri itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dilakukan.–AlHijrah Online

Leave a Reply