EMPAT KES COVID-19 BAHARU, GAZA ISYTIHAR PERINTAH BERKURUNG 48 JAM

Polis Gaza siap sedia membuat sekatan jalan raya. Sumber imej: Yahoo

GAZA CITY: Susulan pengesanan empat kes baharu COVID-19 di Gaza, Palestin, pihak berkuasa tempatan mengisytihar perintah berkurung selama 48 jam.

Keputusan sedemikian julung kali dikuatkuasakan di wilayah itu.

Kesemua jangkitan berkenaan membabitkan sebuah keluarga di kem pelarian al-Maghazi.

Memetik agensi berita Turki, Anadolu, ia kes pertama yang direkodkan berlaku dalam populasi awam.

Sebelum ini kes COVID-19 yang dilaporkan di Gaza hanya melibatkan mereka yang dikuarantin di pusat kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Berikutan empat kes baharu ini, siasatan dijalankan bagi mengesan punca jangkitan dan penutupan sepenuhnya dikenakan di kem al-Maghazi itu.

Manakala perintah berkurung yang dikenakan di seluruh wilayah itu akan menyebabkan semua perniagaan, sekolah, masjid dan kedai makan ditutup sepenuhnya.

Setakat ini terdapat 109 kes COVID-19 di pusat kuarantin di Gaza, dengan 72 daripadanya telah pulih.

Hanya satu kes kematian direkodkan, melibatkan seorang wanita yang mempunyai masalah kesihatan. — AlHijrah Online / Nadzirah Sharingat

Leave a Reply