GARA-GARA KASUT, SUAMI ISTERI DIPUKUL JIRAN GUNA BATU BATA

GAMBAR SEKADAR HIASAN

CHUKAI: Gara-gara bertanyakan kasut yang hilang sepasang suami isteri dipukul menggunakan batu bata dan ditumbuk oleh jiran mereka.

Kejadian dilaporkan berlaku di Kampung Padang Kubu, Chukai, Terengganu.

Insiden dipercayai tercetus apabila pasangan itu pergi ke rumah jiran mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk bertanyakan tentang kehilangan kasut mereka pada 12.15 tengah hari semalam.

Ketika kejadian, lelaki berusia 35 tahun yang sedang berehat di rumahnya didatangi pasangan berkenaan yang bertanyakan tempat anak suspek meletakkan kasut mereka.

Suspek yang tidak berpuas hati dengan pertanyaan itu kerana seolah-olah menuduh anaknya mencuri menghampiri mangsa lelaki berusia 27 tahun lalu menumbuk mukanya beberapa kali.

GAMBAR SEKADAR HIASAN

Suspek yang masih tidak berpuas hati mengambil batu bata lalu memukul belakang kepala dan leher mangsa sehingga batu bata itu pecah.

Isteri mangsa yang berada di tempat kejadian cuba menghalang perbuatan suspek, namun dia turut dipukul di tangan menggunakan batu bata.

Suspek berterusan memukul pasangan itu sehingga mereka cedera di kepala dan leher.

Pasangan itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Puteh untuk tindakan lanjut.

Suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya. — AlHijrah Online

Leave a Reply