GAZA KEMBALI DISERANG

GAZA: Tentera rejim Zionis Israel melancarkan semula serangan udara yang pertama selepas serangan 11 hari ditamatkan dengan gencatan senjata pada 21 Mei lalu.
Tindak balas itu susulan rasa kurang senang Israel apabila ada penduduk Palestin menerbangkan belon yang diikat bahan pembakar ke kawasan wilayah haram Israel sebagai tanda tunjuk perasaan terhadap ‘Perarakan Bendera’ yang diadakan di Baitulmaqdis.

Dalam satu kenyataan, tentera Zionis Israel memaklumkan, serangan udara tersebut merupakan serangan balas terhadap ‘serangan belon’ yang dilakukan rakyat Palestin, sehingga menyebabkan kebakaran di ladang-ladang terbuka di Israel yang berhampiran sempadan Gaza.
Lapor AlJazeera, tentera Zionis Israel akan menyerang markas Hamas selain menyasarkan timur bandar Khan Younis di Gaza, dan mereka “bersiap sedia untuk semua keadaan, termasuk pertempuran baru dalam menghadapi tindakan pengganas yang berterusan yang berasal dari Gaza”.
Jurucakap Hamas turut mengesahkan serangan Israel tersebut, bagaimanapun ia mengatakan bahawa rakyat Palestin akan terus melakukan “perlawanan berani dan mempertahankan hak dan tempat suci mereka” di bumi suci Baitulmaqdis.

Serangan udara tersebut merupakan serangan pertama dalam pemerintahan kerajaan Israel – gabungan baharu yang diketuai Perdana Menterinya, Naftali Bennet, selepas pemerintahan sebelum ini melancarkan serangan selama 11 hari yang meragut nyawa seramai 256 orang Palestin, termasuk 66 kanak-kanak.–AlHijrah Online