PERARAKAN BENDERA: HAMAS SIAP SEDIA MALAM INI JIKA ISRAEL MENYERANG

BAITULMUQADDIS: Pejuang Hamas bersedia menghadapi serangan rejim Zionis Israel jika keadaan kembali tegang susulan tindakan Israel yang berdegil untuk meneruskan ‘Perarakan Bendera’ di perkarangan Masjid al-Aqsa.

Hamas sebelum ini memberi amaran perarakan kontroversi itu bakal menyemarakkan semula konflik berlarutan selama 13 hari yang telah reda pada bulan lalu.

Lapor agensi, Israel tidak akan berundur untuk meneruskan perarakan tersebut, malah menugaskan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) bagi melindungi penduduk di penempatan haram.

Kerajaan Israel yang baharu dibentuk telah meluluskan perarakan tersebut menerusi kenyataan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Omer Barlev yang telah meluluskan perarakan berkenaan berlangsung dan bersetuju untuk meletakkan anggota polisnya dalam keadaan bersedia.

‘Perarakan Bendera’ merupakan perarakan penuh kontroversi oleh kumpulan berhaluan kanan dan kumpulan penduduk penempatan haram selepas kejatuhan Benjamin Netanyahu daripada menjadi Perdana Menteri yang kini dipegang oleh Naftali Bennet.

Penduduk Israel dijangka berarak dari Pintu Damascus ke bandar lama timur Baitulmuqaddis, malam ini (waktu Malaysia).

Keadaan menjadi semakin tegang apabila perarakan itu diadakan selepas Israel mengusir penduduk Palestin secara paksa di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berkata, perarakan itu adalah bentuk provokasi terhadap penduduk negara ini dan pencerobohan di Baitulmuqaddis dan kawasan suci di sekitarnya.

Kedegilan Israel itu dijangka membangkitkan semangat juang rakyat Palestin serta penduduk Islam di seluruh dunia demi mempertahankan masjid suci yang ketiga, Masjid Al-Aqsa.—AlHijrah Online

Leave a Reply