GILIRAN PULAU PINANG BERALIH KE FASA KEDUA PPN

KUALA LUMPUR: Pulau Pinang menjadi negeri keenam yang beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, setelah meneliti nilai-nilai ambang atau ‘threshold’ negeri, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju peralihan negeri Pulau Pinang ke fasa seterusnya iaitu fasa dua.

“Peralihan fasa negeri Pulau Pinang berikutan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama iaitu purata kes jangkitan harian selama 7 hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100,000 iaitu 9.5 kes per 100,000.

“Kadar penggunaan katil wad ICU mencapai tahap sederhana dan penilaian ‘Capacity to Respond’ yang berada pada tahap ‘adequate’.

“Kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus iaitu pada kadar 10.1 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh itu Ismail Sabri berkata berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi-agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi negeri Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai 2021.

“Bagi negeri-negeri yang telah berjaya beralih ke fasa 2, adalah dinasihatkan untuk teruskan usaha melindungi komuniti anda daripada jangkitan COVID-19 dan tingkatkan prestasi negeri masing-masing supaya dapat beralih ke fasa seterusnya.

“Ini akan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan sektor-sektor ekonomi dan sosial di negeri-negeri yang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang diumum beralih fasa kedua PPN bermula hari ini. — AlHijrah Online

Leave a Reply