LEE CHONG WEI SAH TIDAK KE TOKYO

KUALA LUMPUR: Datuk Lee Chong Wei selaku ketua kontinjen (CDM) Malaysia tidak akan ke Jepun bagi Sukan Olimpik Tokyo, atas faktor kesihatan dan nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan makluman tersebut, bagaimanapun Chong Wei akan mengekalkan jawatan tersebut berdasarkan pendirian dibuat Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Reezal berkata, Chong Wei akan memantau perjalanan atlet di Tokyo selain memberi nasihat serta kata-kata semangat secara maya sehinggalah temasya sukan terbesar dunia yang bermula 23 Julai ini melabuhkan tirainya pada 8 Ogos.

“Kami tetap pendirian dengan MOM untuk mengekalkannya sebagai CDM kerana Chong Wei merupakan nama yang amat besar dan signifikan serta cukup kuat dalam hati, sanubari dan minda rakyat Malaysia.

“Aspek pengurusan atlet di Tokyo pula akan dikelolakan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan beliau juga akan tinggal bersama mereka di perkampungan sukan di sana nanti,” katanya.

Memetik laporan BERNAMA, Reezal berkata ketiadaan Chong Wei di Tokyo bukanlah satu masalah kerana hakikatnya, edisi kali ini berlangsung dalam keadaan yang cukup berbeza ekoran pandemik COVID-19 dan memberi jaminan pemenang tiga pingat perak berturut-turut Olimpik itu akan terus berhubung dengan kem Malaysia tanpa sebarang kekangan.

Beliau pada masa sama menghargai kegigihan dan kesungguhan Chong Wei untuk kekal bersama kontinjen Malaysia dan diharap semangatnya mampu memberi kejayaan kepada atlet membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Tokyo.—AlHijrah Online / BERNAMA

Leave a Reply