KUALA SELANGOR: Seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit 1 Sungai Sireh maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta di Jalan Tali Air 4 Ban 2 dari arah Tanjong Karang menghala Sekinchan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian kira-kira jam 3.52 petang.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 12.45 tengah hari itu melibatkan mangsa, Noor Hidayanti Norman, 46, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dipercayai dalam perjalanan ke sekolahnya.
“Motosikal telah dilanggar pemandu kereta jenis Perodua Kenari berusia 53 tahun menyebabkan mangsa tercampak ke sisi kanan jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian perut.
“Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan, katanya.
Oorang ramai yang menyaksikan kejadian dan mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu diminta tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berdekatan.—AlHijrah Online