HAMAS-ISRAEL SETUJU GENCATAN SENJATA

PENDUDUK PALESTIN MERAIKAN PENGUMUMAN GENCATAN SENJATA – GAMBAR OLEH: MOHAMMED ABED / AFP

GAZA: Hamas dan Israel setuju melaksanakan gencatan senjata bagi tujuan menghentikan siri serangan yang berlaku sejak 11 hari lalu.

Gencatan senjata itu diusulkan Mesir dan dipersetujui kedua-dua pihak tanpa syarat.

Hamas turut mengesahkan perkara itu, menerusi satu kenyataannya.

Gencatan senjata ini berkuatkuasa jam 2 pagi (Jumaat) bersamaan 7 pagi waktu Malaysia.

Semalam, Berita Alhijrah melaporkan, Hamas optimis gencatan senjata akan dilaksanakan dalam tempoh sehari dua lagi.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dilapor meminta Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu untuk mengangkat senjata bersama Hamas, namun pemimpin Yahudi itu dikatakan enggan bersetuju selagi matlamat Israel belum tercapai.

Sementara itu, rakyat Malaysia di Gaza, Nadir Al Nuri Kamaruzaman menerusi platform Telegramnya berkata kegembiraan menyelubungi Gaza sejak pengumuman gencatan senjata dibuat.

“Laungan takbir dan jeritan keseronokan bergema di Gaza ketika ini menandakan kemenangan yang dijanjikan dan ditunggu-tunggu telah tiba.”

Nadir Al Nuri Kamaruzaman, Rakyat Malaysia di Gaza

Menurut Nadir lagi, pemimpin Hamas, Usamah Hamdan berkata, jaminan oleh pihak tengah telah diberikan bahawa serangan ke atas Gaza akan dihentikan.

Perkara itu dimaklumkannya kepada saluran televisyen Al-Mayadeen.

“Kami juga telah diberi jaminan bahawa penjajah akan mengangkat tangan dari Masjid Al-Aqsa dan Syeikh Al-Jarrah.”

Usamah Hamdan, Pemimpin Hamas

Korban di Gaza akibat serangan Zionis mencecah 232 orang manakala bilangan mangsa cedera berjumlah kira-kira 1,900 orang.

Kanak-kanak dan wanita antara yang syahid dalam siri serangan itu. -Alhijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply