CADANGAN SISTEM PENGGILIRAN SOLAT BERJEMAAH

Sumber Gambar: Goh Chai Hin / AFP

PUTRAJAYA: Sistem penggiliran bagi menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau akan dicadangkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, cadangan tersebut merupakan ikhtiar bagi mengimarahkan pusat ibadah tersebut.

“Sebagai contoh, kalau sehari seramai 200 jemaah berpeluang ke masjid dan surau, jika sebuah kampung ada 1,000 penduduk kita boleh gilirkan semua penduduk untuk solat berjemaah di masjid dan surau dalam masa lima hari,” katanya dalam sesi khas dalam talian di Facebook beliau, malam tadi.

Menurutnya, sistem penggiliran tersebut dapat memberi satu momentum, malah kariah dapat mengenali dengan lebih rapat ahli jawatankuasa masjid.

Beliau mengulas isu kebenaran menunaikan solat fardhu dan solat Jumaat secara berjemaah hanya dibenarkan 50 orang sahaja bagi pelaksanaan PKP baru-baru ini.

Zulkifli menyatakan jika cadangan tersebut dapat dilaksanakan oleh pengurusan masjid atau surau, ia dapat menaikkan rasa cinta kepada masjid dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Bila semangat itu sudah dipupuk, tidak ada lagi timbul perasaan tidak puas hati dan geram kerana tidak dapat ke masjid.

“Moga suasana ini dapat menjadi pemangkin untuk menambah kecintaan kepada masjid, membina hubungan lebih erat antara kariah dan jawatankuasa masjid serta membina rangkaian yang lebih luas lagi,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply