HANYA 80 AHLI PARLIMEN DICADANG BERSIDANG

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Dewan Rakyat akan mencadangkan hanya 80 Ahli Parlimen dihadkan dalam satu sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula 26 Julai ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Ketua Whip setiap parti politik.

Ujarnya cadangan itu dijangka dapat diputuskan minggu hadapan sebelum Parlimen mula bersidang.

Jelas Mohd Rashid, cadangan itu sama seperti ketetapan persidangan pada tahun lepas yang mana hanya 80 daripada 222 Ahli Parlimen dibenarkan masuk bagi satu sesi.

“Pengagihan Ahli Parlimen adalah 44 dari blok kerajaan dan 36 lagi Ahli Parlimen blok pembangkang,” katanya pada sidang media selepas melawat Program Jelajah Vaksin Bergerak Prihatin Johor di Dewan Serbaguna Sri Stulang, hari ini.

Tambah beliau persidangan juga akan mempunyai sesi pagi dan petang dan ahli Dewan Rakyat boleh bergilir-gilir masuk dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara pula bersidang selama tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos ini.

Persidangan itu bertujuan memberi penerangan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meminda semua perundangan dan peraturan bagi membolehkan persidangan Parlimen diadakan secara hibrid. — AlHijrah Online

Leave a Reply