HANYA TUNJUK DI APLIKASI MYSEJAHTERA, TIDAK PERLU CETAK SIJIL DIGITAL VAKSINASI

GOPENG: Individu lengkap dua dos vaksin dan ingin melakukan kemudahan seperti yang telah diumumkan kerajaan hanya perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera tanpa perlu dicetak.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, orang awam tidak perlu mencetak sijil digital tersebut kerana ianya tidak berkeperluan dan boleh mengelirukan.
“Mereka boleh tunjuk sijil digital di MySejahtera ketika ini tanpa perlu mencetaknya. Semua pihak mahu membuat perkhidmatan berbayar sedangkan tidak perlu langsung untuk mencetak.
“Cukup sekadar menunjukkan sijil berkenaan di telefon bimbit masing-masing kepada penguatkuasa termasuk di sekatan jalan raya (SJR),” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Dewan Kemas Gopeng, di sini hari ini.
Selain menunjukkan sijil digital, orang awam boleh menunjukkan kad vaksinasi yang diterima selepas suntikan dibuat.
“Guna kad yang diberikan dan bukannya yang dicipta atau dijual. Setakat ini, hanya itu sahaja kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan mengenai penjualan sijil digital vaksinasi palsu tersebut termasuk di platform e-dagang.
Jelasnya, Unit Inspektorat dan Perundangan KKM akan membuat siasatan terhadap kegiatan berkenaan yang boleh dianggap sebagai satu penipuan.
“Tindakan itu boleh membuatkan orang menipu mengatakan mereka terima dua dos. KKM tidak membuat perolehan kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi untuk ditunjukkan,” katanya.—AlHijrah Online