KELANTAN SUMBANG RM1,500 UNTUK URUS JENAZAH COVID-19 B40

Sumber Gambar: AFP

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sumbangan sebanyak RM1,500 kepada waris mangsa golongan B40 bagi pengurusan jenazah kes COVID-19 bermula 15 Ogos.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keluarga jenazah hanya perlu mengisi borang serta menyediakan beberapa dokumen yang diminta pihak berkaitan bagi permohonon bantuan tersebut.

“Kerajaan negeri prihatin mengenai bebanan kepada waris yang kehilangan ahli keluarga akibat jangkitan COVID-19,” dalam kenyataannya.

Jelasnya, peruntukan bagi inisiatif tersebut merupakan bantuan khas kerajaan negeri yang berjumlah sehingga RM300,000.

Sementara itu, kerajaan Kelantan turut memberikan elaun tambahan kepada imam tua dan imam muda sebanyak RM150 selain kenaikan elaun RM50 bagi bilal bermula Julai lalu.

“Jumlah keseluruhan elaun yang diterima bagi imam tua adalah RM1,850 dan RM1,350 untuk imam muda bagi masjid mukim kategori A.

“Bilal pula menerima jumlah keseluruhan sebanyak RM800,” katanya.—AlHijrah Online

Leave a Reply