POLIS SIASAT SIJIL DIGITAL VAKSIN PALSU DIJUAL RM15

Tangkap layar daripada seorang pelayar Facebook.

ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan penjualan sijil digital vaksin palsu berharga RM15 di media sosial, semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga tujuh tahun atau kedua-duanya,” katanya seperti dilapor Utusan.

Media sebelum ini melaporkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menjual sijil digital pengesahan individu telah lengkap disuntik vaksin COVID-19 di media sosial.

Sijil palsu itu disertakan maklumat penerima sijil termasuk gambar dan dijual pada harga RM15.

Kamarul memaklumkan setakat ini tiada laporan polis yang diterima berkaitan pemilikan atau penjualan sijil vaksin digital palsu.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh untuk memiliki sijil tersebut,” ujarnya.

Beliau menyeru kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menyalurkan sebarang maklumat di talian 04-7741275 atau MERS 999 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Noorulazanni Muhammad Noor di talian 011-10318409.–AlHijrah Online

Leave a Reply