HARGA SILING PELITUP MUKA DITURUNKAN KEPADA RM1.00

KUALA LUMPUR: Harga siling pelitup muka jenis tiga lapisan yang sebelum ini berada pada paras RM1.50 kini diturunkan kepada RM1.00 seunit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata penurunan ini selepas mengambil kira bekalan yang semakin mencukupi dan harga jualan pengilang yang menurun.

“Susulan daripada perkembangan tersebut, saya ingin memaklumkan harga pelitup muka jenis tiga lapisan diturunkan kepada RM1.00 seunit di peringkat runcit dan 95 sen di peringkat pemborong berdasarkan penilaian berterusan ke atas kedudukan bekalan dan harga pelitup muka oleh kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berhubung harga siling pelitup muka jenis tiga lapisan.

Alexander Nanta Linggi berkata usaha ini diharap dapat mengurangkan beban ibu bapa yang perlu menyediakan pelitup muka untuk anak-anak yang sudah memulakan persekolahan.

Selain itu ia juga bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pelitup muka pada kadar rendah untuk melindungi diri mereka dan mengurangkan penularan COVID-19.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos 2020.

Namun berdasarkan pengumuman menteri hari ini, pihak kementerian dijangka akan mengumumkan tarikh permulaan harga siling terbaharu pada kadar RM1.00 dalam masa terdekat. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply