SUAMI BUNUH PENSYARAH DIDAKWA, TIADA PENGAKUAN DIREKODKAN

SEPANG: Suspek utama kes bunuh seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga merupakan suami mangsa didakwa di Mahkamah Majistret Sepang, hari ini.

Tertuduh Mohd Hairil Izzuan A Samad, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan tertuduh.

Mohd Hairil Izzuan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporakn suspek tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan cerai hingga menyebabkan tertuduh membunuh wanita itu dengan menjerut leher mangsa menggunakan tudung.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan kejam itu di Taman Mas, Putra Perdana di Sepang sebelum meninggalkan mayat mangsa berhampiran sebuah tasik di pinggiran Cyberjaya pada 30 Julai 2020.

Tertuduh kemudian berpura-pura mencari isterinya itu bersama anak perempuan mereka berusia 14 tahun sebelum menghubungi talian kecemasan 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri. — AlHijrah Online

Leave a Reply