Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

HUKUMAN LIMA KADET ALK-UPNM TERBABIT KES BULI DIKETAHUI DUA MINGGU LAGI

DALAM NEGARA

HUKUMAN LIMA KADET ALK-UPNM TERBABIT KES BULI DIKETAHUI DUA MINGGU LAGI

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hukuman termasuk diberhentikan pengajian dan dikeluarkan dari ALK, denda serta membayar balik semua wang tajaan sepanjang pengajian boleh dikenakan terhadap mereka namun perlu mendapatkan pengesahan Majlis Angkatan Tentera (MAT).

Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran Sukarelawan Parlimen Kota Tinggi di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi malam tadi. –fotoBERNAMA

KOTA TINGGI: Keputusan hukuman terhadap lima kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit dalam dua kes buli berasingan bulan lepas akan diketahui dalam tempoh dua minggu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata hukuman termasuk diberhentikan pengajian dan dikeluarkan dari ALK, denda serta membayar balik semua wang tajaan sepanjang pengajian boleh dikenakan terhadap mereka namun perlu mendapatkan pengesahan Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Kementerian Pertahanan sudah ada keputusan mengenai kadet-kadet yang terlibat tempoh hari dan menunggu pengesahan daripada Majlis Angkatan Tentera dalam masa dua minggu ini.

“Kalau memang mereka akan dihukum untuk dibuang, perlu bayar denda dan pulang balik segala tanggungan yang kerajaan telah keluarkan sepanjang mereka menjadi kadet di universiti dan mereka mesti keluar daripada Akademi Latihan Ketenteraan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sukarelawan Parlimen Kota Tinggi di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi, di sini semalam.

Beliau berkata kementerian memandang serius kes buli yang berlaku di UPNM dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat termasuk mereka yang menyembunyikan kes berkenaan.

“Kalau sesiapa terlibat dalam kekejaman, buli dan penderaan, hukumannya adalah sangat berat dan kita juga akan memperketatkan tindakan kepada mereka yang menyorok ataupun tidak maklumkan (mengenai kes buli),” katanya.

Mohamed Khaled berkata buli bukan sebahagian daripada latihan ketenteraan seperti termaktub di bawah peraturan pegawai kadet.

“Saya ingin menjelaskan iaitu latihan tentera memang berat tapi tidaklah melakukan kekejaman hingga aspek memukul, mengguna seterika, tidak begitu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya tidak bercadang untuk menyekat penggunaan seterika di ALK-UPNM meskipun peralatan berkenaan sering digunakan sebagai alat melakukan pembulian.

Pada 8 Nov, pegawai kadet ALK-UPNM Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas di akademi itu di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras pada 11.45 malam, 22 Okt.

Pada 10 Nov, satu lagi kes buli melibatkan penuntut UPNM dilaporkan berlaku membabitkan seorang penuntut tahun satu universiti berkenaan yang cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Okt lepas. –AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading