Connect with us

ALHIJRAH NEWS

IBU PELAJAR CEMERLANG 11A SPM MENINGGAL DUNIA

DALAM NEGARA

IBU PELAJAR CEMERLANG 11A SPM MENINGGAL DUNIA

Ibu kepada seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang mendapat 11A, Muhammad Syahril Said, 18, meninggal dunia malam tadi (Sabtu 10 Jun).

BACHOK: Ibu kepada seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang mendapat 11A, Muhammad Syahril Said, 18, meninggal dunia malam tadi (Sabtu 10 Jun).

ARTIKEL BERKAITAN – PELAJAR CEMERLANG SPM TERUS BERBAKTI, IMAMKAN SOLAT JENAZAH IBU

Media tempatan melaporkan Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghela nafas terakhir kira-kira jam 8.40 malam selepas diserang angin ahmar.

Allahyarhamah sebelum ini dilaporkan terlantar disebabkan penyakit saraf sejak empat tahun lalu.

Berita duka tersebut juga disahkan oleh Pengetua Sekolah Menengah Ugama (SMU) Darul Iman, Beris Lalang, Noor Ruziana Ismail yang dimaklumkan oleh seorang guru yang berada di rumah Muhammad Syahril.

“Difahamkan jenazah akan disembahyangkan di Masjid Pondok Moden pada jam 10 pagi Ahad sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang Lati, iaitu kampung asal arwah,” katanya.

Sebelum ini tular kisah Muhammad Syahril yang sanggup mengorbankan detik paling bermakna buatnya dengan tidak hadir ke sekolah bagi menerima keputusan cemerlang SPM pada Khamis lalu, demi menjaga ibunya yang terlantar sakit.

Bagaimanapun, pihak sekolah mengambil inisiatif untuk hadir ke rumah pelajar itu untuk menyampaikan keputusan SPM.

Menurut Muhammad Syahril, kejayaan dalam SPM itu dianggap satu rezeki yang amat bernilai kerana ibu sentiasa menjadi keutamaannya berbanding perkara lain.

Difahamkan rutin bagi pelajar itu ialah memandikan ibunya sebelum pergi ke sekolah pada waktu pagi dan melakukan tugas sama selepas pulang dari sekolah.

“Tiada apa yang mengubah rutin hidup saya walaupun ketika ibu sedang sakit kerana saya memang suka berada di rumah menemaninya,” katanya.

Muhammad Syahril turut menjadikan Uwais al-Qarni sebagai contoh berkongsikan perkara paling utama untuk berjaya adalah memuliakan ibu bapa selain berusaha menjadi yang terbaik.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

2 Comments

2 Comments

  1. Pingback: PENGORBANAN IBU KEPADA PELAJAR CEMERLANG SPM PERLU DICONTOHI – NENEK SAUDARA – ALHIJRAH ONLINE

  2. Pingback: PELAJAR CEMERLANG SPM TERUS BERBAKTI, IMAMKAN SOLAT JENAZAH IBU – ALHIJRAH ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH NEWS

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading