PENGORBANAN IBU KEPADA PELAJAR CEMERLANG SPM PERLU DICONTOHI – NENEK SAUDARA

Sumber Gambar: BERNAMA

BACHOK: Kejayaan manis pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang memperoleh keputusan 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18, bertukar duka apabila ibunya meninggal dunia akibat angin ahmar, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN – IBU PELAJAR CEMERLANG 11A SPM MENINGGAL DUNIA

Nenek saudara Muhammad Syahril, Zainab Othman, 58, berkata pengorbanan Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, perlu dijadikan contoh terbaik kerana sanggup berkorban membesarkan enam anaknya seorang diri selepas pemergiaan suaminya sekitar tahun 2012.

“Muhammad Syahril kehilangan bapanya semasa beliau berusia tujuh tahun, jadi segala tugas itu digalas oleh ibunya untuk membesarkan anak-anaknya sehingga dia (Muhammad Syahril) berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

“Saya dan keluarga begitu kagum dengan pencapaiannya dan diharapkan hasrat Muhammad Syahril untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya akan tercapai,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Kandis, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zainab berkata walaupun mereka hidup dalam sederhana namun ia tidak menghalang kesemua anak-anaknya untuk cekal dan tabah berbakti kepada arwah ibunya sehingga akhir hayat.

Sebelum ini, kisah Muhammad Syahril tular selepas pelajar itu tidak dapat hadir untuk menerima keputusan SPM pada Khamis lalu kerana perlu menjaga ibunya yang menghidap penyakit angin ahmar sejak 2019 dan pihak sekolah hadir ke rumahnya untuk menyerahkan keputusan cemerlang yang diperolehnya.–AlHijrah Online

Leave a Reply