PELAJAR CEMERLANG SPM TERUS BERBAKTI, IMAMKAN SOLAT JENAZAH IBU

Sumber Gambar: Facebook Syahir Sulaiman

BACHOK: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Muhammad Syahril Saidi, 18, melunaskan bakti buat kali terakhirnya dengan mengimamkan solat jenazah ibunya yang telah meninggal dunia, malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN – IBU PELAJAR CEMERLANG 11A SPM MENINGGAL DUNIA

Muhammad Syahril yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM itu juga membantu menguruskan proses pengebumian jenazah ibunya yang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Lati, Jelawat, pagi tadi.

Lapor media tempatan, tanah perkuburan tersebut turut menjadi tempat jenazah bapanya, Saidi Mat Jusoh disemadikan.

Kakak pelajar cemerlang itu, Syazelin Saidi, 23, turut berkorban demi menjaga ibunya selepas menolak tawaran untuk menyambung pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Institut Pengajian Guru (IPG) pada 2017.

Sementara itu, nenek saudara kepada enam beradik itu, Zainab Othman, 58 berkata, Muhammad Syahril berada dalam keadaan tenang walaupun bersedih dengan pemergian ibunya.

“Mereka yatim piatu sememangnya anak yang baik dan bergilir-gilir menjaga ibu mereka yang sakit.

“Mereka sudah menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan amat sempurna,” katanya.

Sebelum ini tular kisah Muhammad Syahril yang sanggup mengorbankan detik paling bermakna buatnya dengan tidak hadir ke sekolah bagi menerima keputusan cemerlang SPM pada Khamis lalu, demi menjaga ibunya yang terlantar sakit.

Bagaimanapunn ibu pelajar itu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, meninggal dunia kira-kira jam 8.40 malam tadi akibat angin ahmar yang dihidap sejak tahun 2019.—AlHijrah Online

One comment

Leave a Reply