INSIDEN TEMBAKAN DI BANGKOK MALL: TMJ KONGSI DETIK CEMAS

BANGKOK: Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkongsi detik cemas ketika baginda dan keluarga berada di sebuah hotel berhampiran Siam Paragon Mall di Bangkok, iaitu lokasi tembakan maut yang mengorbankan dua nyawa pada Selasa.

Putera mahkota Johor menjelaskan bahawa ketika kejadian, keluarganya sedang duduk di lobi hotel berhampiran sebelum kekecohan berlaku.

“Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan.

“Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya, dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.

“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran.

“Kami tidak mempunyai maklumat lain dan perlu bersedia untuk apa-apa perkara yang boleh berlaku.

“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, “semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.

“Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku. Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.

“Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut.

“Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia, dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor.

“Kini kami selamat berada di Kedutaan. Saya menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan kita untuk memaklumkan apa yang berlaku. Duta Besar Malaysia (Datuk Jojie Samuel) turut ada bersama kami,” menurut baginda.

Tunku Ismail mengemas kini hantarannya di platform X, dengan menyatakan bahawa baginda sekeluarga telah selamat pulang ke Johor pada malam Selasa.

“Malangnya, saya terlepas perlawanan JDT tetapi saya bersyukur keluarga saya dan pasukan kami selamat. Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. 2 orang meninggal dunia. Semoga Allah merahmati roh mereka yang tidak berdosa, ” menurut hantarannya.

Baginda turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pasukan keselamatannya dan rakan-rakan dari Singapura dan Malaysia.

Pemilik pasukan JDT itu berada di Bangkok bagi menghadiri perlawanan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), menyaksikan kebangkitan semula JDT dengan menewaskan BG Pathum United 4-2, di Stadium Pathum Thani pada Selasa.

Menurut media tempatan, seorang suspek berusia 14 tahun telah ditahan selepas kejadian itu.

Duta Besar Malaysia ke Thailand kemudian mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden ngeri itu. — AlHijrah Online

Leave a Reply