ISA SAMAD BERSALAH ATAS SEMBILAN TUDUHAN RASUAH

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, didapati bersalah hari ini atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Keputusan tersebut dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati pembelaan Mohd Isa hanya merupakan penafian semata-mata dan tertuduh juga gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Dengan ini, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Mohd Nazlan.

Sembilan kesalahan yang disabitkan ke atas Mohd Isa selepas dirinya menerima suapan berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Berdasarkan kesalahan itu, Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta ke atas Mohd Isa.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Mohd Isa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah membenarkan jaminan berjumlah RM1.5 juta oleh pemohon dibayar sebelum 2 petang Khamis.

Mohd Isa juga dikehendaki melaporkan diri ke balai polis berhampiran rumah beliau pada setiap 1 hari bulan. – AlHijrah Online

Leave a Reply