ISU KESIHATAN DAN AGAMA AMBIL KIRA DATA SAINS DAN PANDANGAN AGAMAWAN

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju bahawa segala isu kesihatan dan agama perlu dibincang secara holistik dengan mengambil kira data sains dan pandangan agamawan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan dua kementerian itu berkata, perkara tersebut penting agar segala keputusan yang dicapai memberi manfaat yang murni kepada rakyat merentas kaum dan agama.

Persetujuan itu dicapai selepas pertemuan KKM bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini bagi mencapai titik temu keselarian dasar dan polisi kedua-dua kementerian untuk bekerja sebagai satu pasukan.

“Perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa banyak menyentuh mengenai isu-isu kesihatan dan agama.

“Hal ini berikutan, terdapat beberapa isu kesihatan yang menyentuh sensitiviti agama sehingga menimbulkan persepsi tidak baik disebarkan dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan tersebut.

Turut hadir dalam pertemuan hari ini Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. — AlHijrah Online

Leave a Reply